JIM on ISA: Accusation without proof is haram

KENYATAAN MEDIA
Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia
14 September 2008

JIM KECAM PENAHANAN AHLI POLITIK, WARTAWAN DAN PENULIS BLOG DI BAWAH AKTA
KESELAMATAN DALAM NEGERI (ISA)

Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) mengecam undang-undang tanpa bicara
seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan penggunaannya ke atas Ahli
Parlimen Seputeh yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor,
Teresa Kok, wartawan akhbar Sin Chew Daily Tan Hoon Cheng dan pengendali
laman blog Raja Petra Kamaruddin.

JIM ingin menegaskan bahawa prinsip keadilan amatlah penting dalam
perundangan. ISA menyalahi prinsip keadilan kerana mereka yang ditahan
dinafikan hak untuk “tidak bersalah sehingga disabitkan kesalahannya”,
dinafikan hak bela diri, dinafikan khidmat guaman dan boleh ditahan
selama-lamanya tanpa dihadapkan ke mahkamah.

Walaupun wartawan Tan Hoon Cheng kemudiannya telah dibebaskan selepas 16 jam
ditahan, namun JIM mempersoalkan penahanan tersebut atas kononnya untuk
melindungi beliau daripada ancaman ke atas keselamatan beliau. Ini menurut
Menteri Dalam Negeri, Syed Hamid Albar dalam sidang akhbar di Ibupejabat
Polis Bukit Aman pada 13 September 2008. Bukankah suatu yang amat pelik
apabila seseorang ditahan di bawah ISA untuk menyelamatkan beliau daripada
ancaman keselamatan sedangkan lazimnya seseorang ditahan kerana beliau
dituduh memudaratkan keselamatan negara?

Apakah dengan ini wartawan tersebut perlu berterima kasih kepada Kerajaan
atau sepatutnya menyaman Kerajaan kerana merampas hak kebebasan beliau
sebagai warganegara dengan alasan yang tidak munasabah langsung?

Perbuatan menuduh tanpa sebarang bukti adalah perbuatan yang haram dari
sudut Syariah, kerana ianya sendiri merupakan sebab utama kepada keadaan
huru-hara di kalangan masayarakat yang hilangnya kepercayaan antara satu
sama lain.

Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Hujurat ayat 6, penyebaran perkhabaran
dan maklumat yang tidak sahih lagi meragukan menyebabkan berlakunya
pertimbangan yang tidak adil, lantaran mengundang kepada musibah fitnah yang
melanda masyarakat.

Riwayat hadith Ibnu Majah dan Abu Dawud menyebutkan bahawa kadi yang
menetapkan hukuman kepada seseorang bedasarkan sumber-sumber bukti yang
tidak benar akan dicampakkan ke dalam api neraka sewajarnya cukup menjadi
pengajaran bagi kerajaan untuk mengutamakan prinsip keadilan Islam yang
rasional berbanding dengan sentimen-sentimen perkauman yang rapuh dalam
menjaga kemaslahatan masyarakat.

JIM mengesyorkan mana-mana pihak yang terkesan dengan sebaran awam yang
dianggap menghina Islam supaya tampil proaktif dalam memberikan penjelasan
yang bernas terhadap isu-isu yang dibahaskan. Islam tertegak di atas nas dan
dalil Al-Quran dan Sunnah yang jelas. Tuntutan untuk mengemukakan
hujah-hujah Islam secara berhikmah dan beradab sudah termaktub di dalam
riwayat hadith-hadith yang sahih.

JIM memandang penahanan wartawan Tan Hoon Cheng seolah-olah beliau
bertanggungjawab ke atas kontroversi kenyataan perkauman Ahmad Ismail
sebagai tidak wajar kerana Ahmad Ismail dan pengikut beliau sendiri yang
sengaja memberikan provokasi perkauman tanpa sebarang kawalan emosi di
hadapan wartawan-wartawan.

Penahanan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok pula merupakan satu
ketidakadilan kerana dakwaan bekas Menteri Besar Selangor keatasnya telah
dinafikan sekeras-kerasnya. Malah, masjid di Damansara yang dikatakan
disuruh perlahankan bunyi azannya telah memberi penjelasan bahawa azan tidak
berbunyi dengan kuat kerana alat pembesar suara azannya mengalami kesulitan
teknikal, bukannya kerana ditentang penduduk bukan Islam.

Penduduk bukan Islam di kawasan perumahan sekitar sebuah masjid di Puchong
pula dilaporkan hanya memohon supaya diperlahankan penggunaan pembesar suara
untuk majlis kuliah bacaan ayat al-Quran, bukannya azan itu sendiri.

JIM berpendirian jelas bahawa apa juga alasan yang dinyatakan kerajaan atas
episod penahanan terbaru ini samada sebagai “pencetus polemik ketakutan”
atau “pencetus kegawatan”, ianya seharusnya boleh ditangani dengan pelbagai
akta lain yang sedia ada.

Tindakan menggertak dan menangkap blogger, wartawan, para pengkritik dasar
kerajaan khususnya dari kalangan parti pembangkang tanpa hujah yang konkrit
hanya akan mengundang kemusykilan rakyat terhadap motif dan keikhlasan
kerajaan dalam melaksanakan perubahan pasca Pilihan raya Umum ke-12
terutamanya dalam konteks lanskap politik negara kini. Tindakan ini hanyalah
mengesahkan lagi bahwa ISA digunakan untuk tujuan politik parti pemerintah.

JIM amat kesal dengan tindakan parti politik pemerintah yang sanggup
memainkan isu sensitif seperti perkauman dan agama demi untuk menutup
pelbagai kelemahan kepimpinan sedia ada. Sebaliknya, adalah lebih baik pihak
kerajaan berusaha menyelesaikan pelbagai kemelut yang terjadi di dalam
negara sekarang ini tanpa menggadaikan suasana keamanan yang sedia ada.
Hentikan politik perkauman, fitnah dan tuduh menuduh tanpa bukti lagi tanpa
bicara dan kembalilah kepada Syariat Islam.

JIM menggesa Kerajaan untuk membebaskan Teresa Kok, Raja Petra dan
tahanan-tahanan ISA yang lain dengan serta merta atau dakwa mereka di
mahkamah. Nasib tahanan yang ditahan dalam tempoh yang lama sehingga 7 tahun
juga perlu dibela.

Sebagai anggota aktif gabungan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), JIM menyeru
rakyat yang prihatin untuk turut tampil membantah ISA dan penahanan
berhubungnya melalui program-program yang dianjurkan oleh GMI. Dalam
tuntutan keadilan dan kebenaran, tidak ada batasan agama, kaum atau budaya.

Syed Ibrahim Syed Noh
Timbalan Presiden

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s